ISI KANDUNGAN
Ramai yang menyangka psikologi adalah ilmu "membaca fikiran" orang lain. Tafsiran yang salah ini bukan sahaja mengelirukan, malah menyebabkan ilmu ini sering disalah guna. Contohnya, cuba meneka personaliti hanya melalui gaya badan atau memaksa konsep "positif" secara berlebihan (toxic positivity).
Jika salah faham ini terus dibiarkan, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat. Jadi, apa sebenarnya ilmu psikologi ini?
Menurut Persatuan Psikologi Amerika (APA), psikologi ialah:
"Satu kajian saintifik mengenai tingkah laku dan proses mental yang merangkumi aspek pemikiran, perasaan, tindakan, dan memori."
Kajian ini tidak terhad kepada manusia sahaja, malah turut melibatkan haiwan.
Mengapa ia dipanggil "Kajian Saintifik"? Psikologi bukan sekadar teka-teki. Ia mematuhi metodologi kajian yang sistematik dan teratur. Ini membolehkan ahli psikologi memahami sesuatu fenomena dengan tepat, mengelakkan bias peribadi, dan sentiasa menambah baik dapatan kajian dari semasa ke semasa.
Dalam kajian saintifik ini, terdapat empat objektif utama yang ingin dicapai. Ahli psikologi menggunakan langkah-langkah ini untuk memahami tingkah laku:
Keterangan (Description): Menjawab persoalan apa, di mana, dan kepada siapa sesuatu perkara itu berlaku.
Penjelasan (Explanation): Mencari faktor mengapa perkara itu berlaku (punca).
Ramalan (Prediction): Menggunakan data untuk menjangka apa yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Kawalan (Control): Menggunakan ilmu tersebut untuk mengawal atau mengubah situasi ke arah yang lebih baik.
Walaupun langkah ini kelihatan seperti rutin harian kita, dalam psikologi, ia dilakukan dengan metodologi yang sangat ketat dan teliti.
Bidang ini sangat luas. Secara umumnya, ia terbahagi kepada dua kategori besar:
Ini adalah kajian untuk menambah ilmu pengetahuan dan memahami teori asas. Pelajar psikologi biasanya akan mendalami subjek seperti Metodologi Kajian dan Statistik. Contoh bidang ini termasuk:
Psikologi Sosial: Mengkaji bagaimana individu dipengaruhi oleh orang lain.
Psikologi Personaliti: Mengkaji perbezaan watak individu.
Psikologi Perkembangan: Fokus kepada perubahan manusia sepanjang hayat (dari bayi hingga tua).
Ini adalah penggunaan ilmu psikologi untuk menyelesaikan masalah praktikal di dunia nyata. Contohnya:
Psikologi Klinikal: Menilai dan merawat kecelaruan mental (depression, anxiety, dll).
Psikologi Industri & Organisasi (I/O): Meningkatkan produktiviti dan keserasian pekerja di tempat kerja.
Psikologi Pendidikan: Memahami cara manusia belajar untuk menambah baik sistem pendidikan.
Tanggapan bahawa anda boleh "membaca orang" sebaik sahaja belajar psikologi adalah tidak benar.
Psikologi adalah disiplin ilmu yang kompleks, luas, dan versatil. Ia memerlukan pengorbanan masa dan tenaga untuk dikuasai. Ia bukan sekadar tentang kesihatan mental semata-mata, tetapi merangkumi segenap aspek kehidupan manusia di sekolah, tempat kerja, dan masyarakat.
Breckler, S. J. (2006). Embracing The Many Applications of Psychology. American Psychological Association.
Ciccarelli, S., & White, J. (2018). Psychology (5th ed.). Pearson Education.
Afiq Asyraf merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Psikologi) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Sarjana Sains (Sains Data) dari Universiti Teknologi Malaysia. Gabungan latar belakang dalam bidang psikologi dan sains data ini telah membentuk minat mendalamnya terhadap psikologi, psikologi Islam dan teknologi kecerdasan buatan (AI).